Encik Zhang Ding yang berusia 93 tahun ini telah menyertai reka bentuk lambang kebangsaan Republik Rakyat China dan setem pos kumpulan pertama selepas Republik Rakyat China ditubuhkan. Beliau digelar “seniman yang pasti dikenal untuk memahami sejarah seni lukis China pada abad ke-20″.
Zhang Ding dilahirkan di desa provinsi Liaoning, timur laut China pada tahun 1917. Beliau belajar melukis sendiri. Lukisan dakwatnya sudah digantung pada dinding rumah penduduk desanya sejak beliau masih kecil lagi. Ketika diwawancara oleh Stesen Televisyen Pusat China beberapa tahun yang lalu, Zhang Ding mengenang kembali pengalamannya melukis ketika kecil-kecil dahulu. Menurutnya,
“Saya berminat melukis sejak kecil lagi. Saya sering melukis pada pintu gerbang hitam dengan kapur berwarna-warni yang dibawa oleh kakak saya.”
Ketika Zhang Ding berusia 14 tahun, iaitu pada tahun 1931, tiga buah provinsi di timur laut China telah dicerobohi Jepun. Zhang Ding pula diterima masuk ke sekolah vokasional seni lukis di Beijing. Pada masa itu, pihak sekolah hanya mengajar pelajarnya untuk melukis bunga sahaja. Zhang Ding yang patriotik itu telah melukis beberapa banyak lukisan kartun yang menggambarkan masa depan masyarakat yang gelap. Pada tahun 1936, Zhang Ding memulakan kerjayannya sebagai pelukis kartun profesional di Nanjing. Beliau mendesak pihak berkuasa China untuk menentang pencerobohan Jepun. Lukisan kartunnya yang berhubung erat dengan situasi semasa penuh dengan semangat. Oleh itu, banyak majalah lukisan kartun turut menerbitkan karyanya.
Selepas itu, Zhang Ding bertolak ke Yan’an, provinsi Shaanxi. Beliau belajar sendiri dan menjadi pereka bentuk di sana. Baik bagi kostum dalam majlis tari-menari bertopeng, latar pentas, mahupun reka bentuk dalaman kelab penulis dan pameran perhiasan, Zhang Ding menggabungkan bahan bersifat kekampungan dengan reka bentuk yang moden, dan membawa fesyen kepada kawasan pergunungan Shaanxi.
Disebabkan pengalamannya yang lama di Yan’an, Zhang Ding menjadi pereka bentuk utama untuk “membungkus China yang baru” ketika Republik Rakyat China ditubuhkan. Beliau menyertai kumpulan pereka bentuk lambang kebangsaan, lambang Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China dan setem pos kumpulan pertama Republik Rakyat China. Beliau juga kerap kali dihantar ke luar negara untuk menangani reka bentuk pavilion China siri pameran antarabangsa. Ketika menyertai Pameran Antarabangsa Paris pada tahun 1956, Zhang Ding membuat sebuah taman dengan buluh. Selepas pameran itu berakhir, ada yang memohon untuk membeli tamannya. Dalam lawatannya ke Paris itu, Zhang Ding juga mewakili kumpulan kesenian China untuk bertemu dengan Picasso.
Selain itu, Zhang Ding juga menubuhkan jurusan lukisan mural yang pertama di China, dan menggubah lukisan mural di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Negara Beijing. Beliau menggabungkan kelebihan klasik dengan moden, timur dengan barat, kalangan elit dengan rakyat, dan terus melampaui dirinya sendiri untuk maju bersama dengan arus sejarah.
Zhang Ding telah memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan lukisan tradisi China pada zaman moden. Pelukis terkenal, Yuan Yunfu berkata,
“Pembaharuan lukisan China dimulakan oleh Encik Zhang Ding. Segala yang menarik dalam alam kelihatan dalam karyanya. Semua karyanya memperlihatkan hasratnya untuk berpadu dengan alam.”
Sekarang, pameran lukisan Zhang Ding sedang diadakan di Muzium Kota Larangan di Beijing. Pameran tersebut mempamerkan 47 buah lukisan Encik Zhang Ding. Kebanyakannya ialah karya pada usianya yang sudah lanjut. 10 daripada karyanya telah disumbangkannya kepada muzium tersebut.
Kurator Muzium Kota Larangan, Encik Zheng Xinmiao memberikan penilaiannya kepada karya Zhang Ding sebagai berikut.
“Encik Zhang Ding merupakan seniman China yang terkenal pada abad ke-20. Dalam kerjaya seninya selama lebih 70 tahun itu, beliau yang sentiasa bersemangat dan ghairah itu telah melampaui bidang-bidang seperti lukisan dakwat, kartun, mural, pendidikan dan teori seni lukis, dan mencapai prestasi yang diakui oleh umum dalam setiap bidang. Beliau merupakan seniman serba pandai yang jarang terdapat dalam arena seni China pada abad ke-20.




LinkBack URL
About LinkBacks



Reply With Quote

Bookmarks